‘Superman Hew’ ditahan selepas video tular

BEKAS orang kuat DAP, Hew Kuan Yau ditahan polis susulan video tular ucapannya dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan di Raub, Pahang pada Khamis lalu bahawa masyarakat Cina perlu mengambil kesempatan daripada perpecahan orang Melayu.

Selepas video minggu lalu itu tular, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kenyataan Hew itu bukan pendirian PH. Hew meninggalkan DAP pada 2016.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan Hew, yang lebih dikenali sebagai “Superman Hew” ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang dibantu JSJ Bukit Aman di Puchong Jaya, Selangor hari ini.

Katanya, Hew disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata, Hew turut disiasat di bawah seksyen sama atas ucapannya dalam sebuah ceramah di Taman Pandan Mawar, Melaka pada Jumaat lalu.

Katanya, Hew ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan perintah reman akan dipohon terhadapnya.Subscribe to our