PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA, menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan secara terhormat dan digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia susulan kandungan surat yang ditandatangani Ahmad Zahid mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, surat berkenaan bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 22 November 2022.
“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Baginda.
“Justeru itu, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi,” tegasnya.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Zahid cuba menipu Agong dan berkongsi salinan surat tular tersebut.
Menurutnya, kini tersebar surat daripada Presiden UMNO itu kepada Agong yang mendakwa mesyuarat BN pada 22 November memutuskan semua 30 ahli Parlimen mereka menyokong Anwar menjadi PM ke-10.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.