Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
209 kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang tahun ini setakat September lalu -

209 kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang tahun ini setakat September lalu

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini diberitahu terdapat sebanyak 209 kes penderaan melibatkan kanak-kanak direkodkan berlaku di negeri itu dari bulan Januari sehingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng berkata, daripada jumlah itu, jenis penderaan melibatkan seksual adalah sebanyak 91 kes; pengabaian (67); fizikal (42) dan emosi (9).

Bagaimanapun ujar beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Antara SOP itu adalah JKM menyelamatkan kanak-kanak mangsa dera berkenaan dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima.

“JKM juga akan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan pegawai perubatan berkaitan penderaan,” katanya.

Chong Eng (DAP-Padang Lalang) menjawab soalan A. Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di negeri itu sepanjang tahun ini.

Selain itu, Chong Eng berkata, perintah sementara di bawah Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap dibawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 akan diperoleh daripada mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak mangsa dera di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau ditempatkan di tempat selamat.

Dalam masa sama katanya, JKM juga akan memberikan khidmat nasihat dan intervensi kaunseling juga akan diberikan kepada mangsa dera.

“Pasukan perlindungan kanak-kanak yang telah dilantik di bawah Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti setempat,” ujar beliau.

Jelas beliau, antara faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan masalah kewangan; kecuaian ibu bapa atau pengasuh; pendera terlibat dengan jenayah; kanak-kanak mengikut teman lelaki dan banyak lagi. – SB