Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ahmad Faizal sangkal dakwaan Saarani, sifatkannya sebagai penipu besar -

Ahmad Faizal sangkal dakwaan Saarani, sifatkannya sebagai penipu besar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyatakan tiada tawaran diberikan PN kepada Barisan Nasional (BN) Perak berkenaan pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Saaani melakukan penipuan besar apabila mendakwa PN Perak tidak mahu berjumpa dengannya berkenaan perbincangan untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama PN-BN.

“Hakikat sebenarnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada Ahad, 20 November 2022 di Kuala Lumpur. Perjumpaan itu turut dihadiri Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

“Kami telah berunding berkenaan kerjasama PN dan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baharu. Dalam perjumpaan itu beliau menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang amat penting.

“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana kerajaan negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ahmad Faizal menegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun Saarani bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri.

“Beliau memohon untuk merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat apa-apa keputusan,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu.

“Namun pada hari ini beliau dan kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan UMNO yang lalu dengan slogan ‘No DAP’,” katanya.

Katanya, tangggungjawab Menteri Besar adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata.

Hari ini, BN dan PH bergabung membentuk kerajaan negeri Perak selepas mendapat majoriti 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Keputusan PRU15 menyaksikan PN memenangi 26 kerusi DUN diikuti 24 kerusi dimenangi PH manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.

Menerusi sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, Saarani mendakwa, tiada sebarang bentuk tawaran yang diberikan PN kepada pihaknya bagi tujuan pembentukan kerajaan.

Saarani berkata: “Dia (Zainol Fadzi) minta saya berunding dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN). Maka pada pukul 10 pagi semalam, sebelum saya hadir mesyuarat Biro Politik UMNO, saya berjumpa dengan beliau dan Datuk Zainol.

“Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya telahpun diberi tawaran peranan itu (tawaran jawatan Menteri Besar oleh Pakatan Harapan (PH).

“Jadi jika Perikatan Nasional nak buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah. Namun sehingga semalam saya tak ada menerima apa-apa tawaran,” kata Saarani yang juga Pengerusi BN Perak. – SB