Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi

BEBERAPA nama besar dalam dunia politik di Perak menerima nasib berbeza dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumumkan malam tadi.

Di Parlimen Bagan Datuk, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang tipis dengan majoriti 348 undi menewaskan tentangan sengit calon Pakatan Harapan (PH) Shamsul Iskandar Mohd Akin (16,230), calon Perikatan Nasional (PN) Dr Nik Muhammad Faiz Naaman (8,822) dan calon Bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail (226).

Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pula mengekalkan kerusi Parlimen Lenggong yang disandangnya dengan majoriti 879 undi menewaskan calon PN Muhamad Rif’aat Razman (11,709) dan calon PH Jurey Latiff Rosli (3,382). 

Di Parlimen Gerik, cubaan kali pertama Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di Perak tidak membuahkan hasil apabila tumbang kepada calon PN, Fathul Huzir Ayob dengan majoriti 1,377 undi.  

Turut menerima nasib yang sama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kerusi Parlimen Lumut apabila tumbang kepada calon PN Komander (B) Nordin Ahmad Ismail dengan majoriti 363 undi.

Di Parlimen Sungai Siput, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran pula kecundang di tangan penyandangnya  S Kesavan dengan majoriti 1,846 undi, manakala timbalannya Datuk Seri M Saravanan pula kekal di Tapah dengan majoriti 5,064 undi.

Manakala di Parlimen Tanjung Malim, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon tewas kepada penyandang yang juga Ketua PKR Perak Chang Lih Kang yang memperoleh kemenangan dengan majoriti 3,541 undi.

Di kerusi Parlimen Tambun, Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tumbang di tangan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti 3,736 undi.

Namun rakannya yang juga Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin mengekalkan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya apabila memperoleh majoriti 11,598 undi menewaskan calon BN Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (BN), Zolkarnain Abidin (PH) dan calon Berjasa, Auzaie Fadzlan Shahidi.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 15,169 undi. 

— BERNAMA