PRU-15: Calon MB Perlis daripada PAS

0
235

KEPUTUSAN menamakan calon Menteri Besar Perlis yang baharu akan ditentukan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) peringkat pusat yang dijangka mengeluarkan watikah esok.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli, berkata pihaknya tidak mencadangkan nama mana-mana pemenang daripada calon PN setakat ini selepas gabungan parti itu menyapu 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

“Kita masih menunggu watikah daripada pusat. Kita tidak mencadangkan sesiapa, tunggu lantikan daripada pusat.

“Difahamkan watikah itu telah dihantar ke Perlis. Yang pasti, Menteri Besar yang baharu daripada PAS,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Perlis di sini, awal pagi tadi.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi DUN dan hanya satu kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) di DUN Indera Kayangan.

PN juga menguasai ketiga-tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Perlis pada PRU-15.

Kejayaan PN di Perlis menamatkan legasi pemerintahan BN sejak 65 tahun lalu.

Sementara itu, Shukri yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sanglang berkata pihaknya tidak menafikan kemenangan besar PN di Perlis turut dipengaruhi aura Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selain gelombang rakyat yang mahukan perubahan.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri itu akan berjalan dengan lancar memandangkan tiada lagi ‘benih’ BN di Perlis selepas ini.

“Untuk menumbangkan BN sampai tahap 17 (kerusi PN) satu (kerusi PH) ini memang tidak dijangka. Kami sangka setakat majoriti mudah sahaja. Kepercayaan yang diberikan kepada kami adalah ujian, amanah yang amat besar untuk kami menanggungnya

“Terima kasih kepada rakyat negeri Perlis atas keberanian berubah kepada yang lebih baik. Kami akan berusaha membawa pentadbiran yang bersih dan stabil.

“Kepemimpinan PN Perlis akan mendengar dan memberi perhatian kepada suara rakyat negeri ini serta manifesto akan diperhalusi dan dilaksanakan dengan penuh berhemah,” katanya lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here