PERIKATAN Nasional (PN) mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
“Kami bakal berbincang dengan parti di Sabah dan Sarawak. Tetapi kita tak payah nak sebutkan (siapa), terserah kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PN dengan mengambil kira situasi dan keadaan keadaan tertentu.
“Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini maka kita akan lahirkan suasana politik yang paling stabil.
“Kami perlu mengambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti-parti lain dan kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar-dasar diketuai oleh PN kami akan pertimbangkan,” katanya pada sidang media PN di Glenmarie Golf & Country Resort, Shah Alam.
Muhyiddin turut bangga atas kejayaan PN memenangi 73 kerusi penuh termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo Pas.
“Bersyukur atas kejayaan PN memenangi 73 kerusi penuh setakat ini, termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo pas.
“Masih terdapat enam kerusi lagi yang belum selesai dikira oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya.
Tambahnya lagi, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan baharu, pihaknya bakal fokus menunaikan tawaran PN-BEST.
“Sokongan rakyat kepada PN terutamanya pengundi muda telah membolehkan PN mencapai kejayaan luar jangka.
“PN akan kekal dengan tawaran #PN Best kepada rakyat seperti mana yang ditawarkan kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen,” ujarnya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.