Calon PN singkir Nurul Izzah, Reezal Merican di Pulau Pinang

0
206


CALON Perikatan Nasional (PN) berjaya membuat kejutan apabila berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Kepala Batas di Pulau Pinang.

Muhammad Fawwaz Mat Jan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh dengan majoriti 5,272 undi manakala Datuk Wan Saiful Wan Jan mengalahkan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-UMNO) dengan majoriti 12,252 undi di Tasek Gelugor dan Dr Siti Mastura Mohamad pula menewaskan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-UMNO) dengan majoriti 2,867 undi di Kepala Batas.

Wan Saiful, yang merupakan Ketua Penerangan Bersatu, berkata beliau terkejut menang dengan majoriti besar di Parlimen Tasek Gelugor kerana langsung tidak menyangka gelombang sedemikian rupa memandangkan pada PRU14, kerusi itu menyaksikan persaingan sengit dengan majoriti hanya 81 undi.

“Kejayaan ini juga tidak akan berlaku tanpa gelombang sokongan anak-anak muda yang mahukan sebuah kerajaan pusat yang bersih dan stabil yang akan dibawa oleh kerajaan PN khususnya di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Tasek Gelugor di Institut Kemahiran MARA Seberang Perai Utara di sini pagi ini.

Siti Mastura pula berkata beliau akan berusaha untuk menambah baik Kepala Batas dan menjadikan ia satu kawasan terbaik.

“Kita hendak bawa kepada satu perubahan politik yang lebih matang dan turut melibatkan suara anak muda,” katanya.

Muhammad Fawwaz, yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, pula berkata beliau bersyukur dan berharap dapat merealisasikan segala janji dalam tempoh lima tahun ini.

“Saya ingin meminta maaf jika saya ada membuat silap sepanjang berkempen dan saya berhasrat untuk menyatupadukan Permatang Pauh. Kita semua bersaudara,” katanya.

Sepuluh lagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang dimenangi oleh PH termasuk Bagan, Bukit Mertajam, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here