[RASMI] PAS sapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan

0
285

PAS mencipta rekod apabila memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kemenangan itu termasuk di kerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang apabila memperoleh 73,115 undi dengan majoriti 41,729 undi.

Keputusan juga amat mengejutkan apabila calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang Parlimen berkenaan selama 11 penggal akhirnya tewas dengan calon PAS, Mohd Azizi Abu Naim.

Selain Gua Musang, PAS turut merampas dua kerusi milik BN di Ketereh dan Machang di Kelantan, manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menewaskan tiga pencabar daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan, enam Parlimen sudah selesai proses pengiraan yang kesemuanya dimenangi oleh PAS.

Malah, kerusi Parlimen Machang yang disandang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga dirampas oleh calon PAS, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Di Terengganu, kemenangan juga diraih penyandang di kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid apabila memperoleh 49,601undi dengan majoriti 22,197 undi.

Ia sekali gus menidakkan pencabarnya dari BN yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut mendahului dengan majoriti 35,914 undi.

Selain itu, calon Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak mendahului dengan majoriti 28,860 undi, meninggalkan calon BN yang juga penyandang kerusi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mohd Khairuddin pertama kali memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada PRU13 dengan majoriti 610 undi.

Beliau mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 yang diadakan pada 2018 dengan majoriti 8,447 undi selepas menewaskan calon UMNO dan PKR.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin keluar PAS berkuat kuasa serta-merta pada Mac lalu.

Penyandang kerusi Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang memperoleh 42,841 undi menewaskan pencabarnya dalam persaingan empat penjuru dengan majoriti 15,806 undi.

Di Dungun, penyandangnya, Wan Hassan Mohd Ramli turut mendahului apabila memperoleh 17,882 undi manakala Setiu yang diwakili, Shaharizukirnain Abdul Kadir memperoleh 26,320 undi.

Calon muka baharu bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut mendahului dengan majoriti 17,241 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here