Penguasaan ampuh PN di Kedah

0
197

Oleh RIZQI ZABIDI

TANPA ada niat untuk tidak menghormati cabaran daripada mana-mana pihak, parti atau gabungan politik, sukar sebenarnya untuk menafikan jangkaan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan memenangi majoriti kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Bersandarkan gelombang yang wujud di Kedah termasuk kehadiran rakyat terbanyak di ceramah-ceramah dianjurkan PN, gabungan tersebut malah dilihat berada dalam kedudukan cukup selesa untuk mendapatkan kebanyakan kerusi Parlimen di negeri ini.

Malah PN juga dijangkakan tidak berdepan masalah untuk menumbangkan beberapa gergasi parti-parti lain seperti Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Jerlun serta Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Selepas beberapa kali menjejakkan kaki ke Jerlun di sepanjang tempoh kempen kali ini, jelas dapat dilihat betapa aura Mukhriz yang sebelum ini sangat bergantung kepada kekuatan ayahandanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bumi Kedah ini sudah terlalu jauh berkurang berbanding ketika PRU-14 dan PRU-13.

Malah ketika hari penamaan calon pada 5 November lalu, jumlah penyokong Pejuang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan kehadiran penyokong Pas dan BN.

Berdasarkan situasi semasa, calon Pas, Dr. Abd. Ghani Ahmad dilihat tidak berdepan masalah untuk melenyapkan majoriti 5,866 dimiliki Mukhriz sewaktu bekas Menteri Besar sebanyak dua kali itu memenangi pertarungan di situ pada PRU14.

Di Pokok Sena pula, cengkaman Mahfuz yang sudah beberapa penggal menguasai kawasan itu juga dilihat sudah kian berkurang.

Apatah lagi PN dalam saingan kali ini meletakkan calon cukup ampuh untuk menghadapinya iaitu Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya.

Hubungan amat erat antara Ahmad Yahaya dengan guru-guru agama terkenal yang cukup ramai berada dalam kawasan Parlimen tersebut, dilihat menjadi antara faktor yang mampu membuatkannya dipilih untuk menggantikan Mahfuz di kawasan Parlimen itu.

Dengan gelombang ke arah PH sudah tidak lagi bertiup kencang seperti PRU14, Mahfuz amat mengharapkan supaya ceramah ‘Grand Finale’ oleh ‘top gun’ PH termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Taman Derga Jaya yang terletak dalam kawasan Parlimen Pokok Sena malam ini, dapat membantunya meyakinkan pengundi untuk memilihnya esok.

Satu lagi kerusi yang menjadi tumpuan esok adalah Parlimen Alor Setar yang sudah sekian lama berada di tangan PKR.

Kehadiran tokoh muda yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hamimi Taib Azamudden tidak seharusnya dipandang remeh bagi menamatkan penguasaan PH di situ.

Apatah lagi Afnan dilihat berpotensi mencuri undi daripada orang-orang UMNO yang kecewa kerana BN memutuskan untuk terus memberi laluan kepada MCA bertanding di kawasan tersebut berbanding meletakkan calon UMNO di kawasan majoriti Melayu tersebut.

Malah buat pertama kalinya, Afnan serta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berjaya menembusi kubu kuat BN di Taman Wira dekat Mergong, bagi mengadakan ceramah di situ beberapa hari lalu.  

Bersandarkan faktor-faktor tersebut selain aura Muhammad Sanusi yang turut berjaya menambat hati orang muda, tidak mustahil PN akan menang besar di Kedah sekali gus menjadi pembakar semangat buat mereka mempertahankan penguasaan di negeri ini apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, tahun depan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here