Bayi lelaki ditemukan di hadapan rumah di Kajang

0
164

SEORANG bayi lelaki dipercayai berusia 14 hari ditemukan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saujana Impian, Kajang, di sini semalam.

Ketua Polis Derah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada 11.39 malam daripada pengadu yang juga pemilik rumah teres berkenaan.

Beliau berkata ketika ditemui bayi tersebut dalam keadaan terbaring, tidak berpakaian dan hanya dibaluti kain lampin.

“Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi tersebut dan pengadu kemudian telah menguruskan bayi itu sebelum melaporkannya ke Balai Polis Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya bayi yang masih bertali pusat itu dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan awal dan disahkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.

Mohd Zaid berkata bayi berkenaan masih lagi ditahan di Wad Kanak-kanak untuk pemantauan sebelum diserahkan ke Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi terus mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here