SERAMAI 200 ahli dan penyokong UMNO Teluk Intan yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Ketua UMNO Cawangan Jalan Mak Intan, Masaad Mansur berkata, keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO Bahagian Teluk Intan.
“Kami seolah-olah terpinggir dan merasakan tidak diperlukan sebagai ahli parti malah pimpinan UMNO sendiri menyatakan cawangan kami ini bukan dalam kawasan Changkat Jong.
“Mesej kami jelas, kami mahu bantu menangkan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kami akan cuba tarik pengundi atas pagar menyokong PN,” katanya dalam sidang akhbar di Durian Sebatang di sini semalam.
Masaad menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Naib Ketua Bahagian Bersatu Teluk Intan, Roslan Md. Sam sambil disaksikan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Sementara itu, Zainol berkata, perkembangan tersebut memberi gambaran positif kepada PN negeri untuk memenangi kerusi pada PRU-15.
“Kita amat mengalu-alukan kehadiran ahli baharu Bersatu di Teluk Intan ini dan kita harap ia mampu memberi lonjakan untuk kita pastikan Parlimen Teluk Intan akan ditawan PN.
“Ini merupakan penanda aras dan peluang terbaik untuk Bersatu khususnya PN membawa perubahan di Perak dengan memulakan langkah menawan Parlimen Teluk Intan,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.