‘Perbuatan ugut tindakan penjawat awam jika berkuasa tak profesional’ – CUEPACS

0
214

CUEPACS membidas tindakan pemimpin politik yang menggunakan modal bersifat menyerang atau mengugut penjawat awam ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perbuatan mengugut akan mengambil tindakan kepada penjawat awam tertentu sekiranya mempunyai kuasa kelak adalah tidak wajar dan tidak profesional.

Semua pihak harus mengetahui bahawa setiap perkara yang dilakukan penjawat awam adalah berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme yang tinggi tanpa mengambil kira soal politik kepartian.

“Seharusnya calon atau ahli politik yang berkempen sepanjang pilihan raya tidak keterlaluan menyerang perkhidmatan awam.

“CUEPACS memahami terdapat ahli politik yang tidak dapat mengawal emosi ketika berkempen, apatah lagi di hadapan ribuan penyokong masing-masing.

“Namun, perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rafizi dilaporkan berkata, mempersoalkan tindakan itu kerana mendakwa sudah mendedahkan skandal membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion berserta bukti sebelum ini, namun perkara itu tidak disiasat SPRM.

Adnan berkata, pihaknya mempersoalkan niat di sebalik tindakan pemimpin politik itu serta serangan secara terbuka yang dilakukan.

Ini kerana, katanya, pihaknya difahamkan SPRM tidak pernah mendedahkan pegawai mereka melakukan serbuan ke pejabat milik mana-mana ahli politik dalam tempoh berkempen ini.

“Perkara itu hanya diketahui umum apabila ahli politik terbabit yang mendedahkannya melalui ceramah.

“Justeru, dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sedikit masa lagi ini CUEPACS berharap semua pihak menghormati satu sama lain.

“Keharmonian antara ahli politik dan perkhidmatan awam amat penting kerana kedua-dua pihak seharusnya bekerjasama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here