Didakwa lulus projek selepas Parlimen bubar, Tuan Ibrahim saman Rafizi

0
186

MENTERI Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir dilakukan selepas pembubaran Parlimen.

Menurut Tuan Ibrahim, tuntutan yang difailkannya agar Rafizi memohon maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dikeluarkan tamat hari ini.

“Hari ini saya sudah failkan saman berhubung tindakan fitnah dibuat.

“Kita akan bertindak. Hari ini tamat tempoh dan saya dah failkan saman,” katanya ketika berceramah di Pengkalan Chepa malam ini.

Surat tuntutan kepada Rafizi telah dihantar oleh peguam Tuan Ibrahim, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 10 November 2022.

Tuntutan yang dikemukakan antaranya ialah Rafizi memberi akujanji bertulis untuk berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan tuduhan yang beliau lakukan kepada saya dan membuat permohonan maaf dalam jangka masa tujuh hari daripada tarikh surat tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau tidak pernah memberikan sebarang kelulusan projek kepada mana-mana syarikat selepas Parlimen dibubarkan.

Katanya, tindakan Rafizi itu dipercayai dalam cubaannya mengalih isu berhubung siasatan SPRM ke atas syarikat dimilikinya, Invoke Solutions Sdn Bhd selain mahu merosakkan imej beliau.

“Jika dia ada bukti, dia boleh membuat laporan SPRM. Saya tiada masalah kerana saya tahu peraturan dan undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here