Polis siasat pengundi buat ‘live’ ketika undi pos

0
179

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tindakan dua individu dipercayai bersiaran secara langsung di media sosial dan mendedahkan kertas undi pos, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata laporan polis dibuat seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran berkaitan perkara itu di Twitter.

“Pengadu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melayari internet dan melihat gambar tangkap layar video seorang pengguna TikTok menggunakan nama ‘sifulife’.

“Gambar tangkap layar itu memaparkan seorang individu disyaki menjalankan proses undi pos sambil bersiaran di TikTok dan gambar itu kemudian dikongsikan di Twitter atas nama @injang_nation,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Beliau berkata pengadu turut mengesan satu lagi perbuatan sama oleh seorang individu lain yang mendedahkan kandungan kertas undi pos melalui akaun Tiktok ‘arielprimepicture_2nd’ termasuk nombor kertas undi.

Katanya, kedua-dua kes disiasat oleh Polis Daerah Wangsa Maju mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 5(6) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, katanya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam menunjukkan sebanyak 30 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dibuka di seluruh negara sehingga semalam.

“Sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor (empat(), Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala Melaka, Terengganu dan Sabah, masing-masing satu kertas siasatan.

“Antara kes dilaporkan termasuk perbuatan khianat bahan kempen milik calon dan parti, berita dan maklumat palsu, kenyataan berunsur fitnah serta kes gaduh dan pukul,” katanya.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 PDRM, berkata polis turut menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dengan tiga tangkapan di Perak, Pahang (dua) dan masing-masing satu tangkapan di Kelantan dan Sarawak.

Mengenai ceramah kempen PRU15, Hazani berkata sebanyak 1,522 ceramah dengan permit sah berlangsung di seluruh negara, semalam dengan jumlah ceramah tertinggi di Sabah dan Sarawak, masing-masing 256 ceramah, manakala satu ceramah kempen di Sabah dikesan tiada permit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here