Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan bersih, stabil tawaran Wan Saiful kepada pengundi -

BAKAL membentuk sebuah kerajaan yang bersih, stabil di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Itu tawaran yang dibawa calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada seluruh penduduk Parlimen berkenaan menerusi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang memasuki hari ke-11.

Menurut Wan Saiful, PN kawasan tersebut mendapat sambutan bukan saja merentasi jurang umur namun merentasi kaum.

“Siapa kata orang Tasek Gelugor ni tolak calon luar? Itu semua sentimen yang sengaja diada-adakan. Bagi saya sepanjang menyantuni penduduk di sini mereka menerima baik kehadiran saya serta jentera parti.

“Bukan ahli politik tapi ramai orang luar di sini contohnya cikgu, doktor, jururawat, tentera, polis dan tak timbul pun isu mengapa orang-orang ini di sini sebaliknya penduduk Tasek Gelugor lebih matang dan rasional memilih siapa yang boleh wakili suara mereka di peringkat Parlimen dan Kabinet.

“Jadi semua ni adalah petanda baik buat kita dan saya seru orang muda atau orang yang lebih senior untuk memilih PN bagi memastikan masa depan negara bersih serta stabil,” katanya lapor MalaysiaGazette malam tadi.

Terdahulu, Wan Saiful mengadakan walkabout di pasar malam di Kubang Menderung di sini.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menegaskan bukan mudah bagi dirinya meneruskan legasi Penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

“Konteks ini penting, ya betul sebelum kewujudan PN mahupun parti BERSATU, kawasan ini diwakili oleh UMNO tapi wakil tersebut telah pilih PN susulan khidmat keprihatinan kepada rakyat itu diterjemahkan lebih baik oleh kita (PN).

“Jadi Tasek Gelugor ini menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan dan membina lagi legasi yang ditinggalkan Datuk Shabudin. Banyak jasa beliau iaitu hampir 20 tahun menjadi wakil rakyat daripada Dewan Undangan Negeri hingga ke Ahli Parlimen.

“Bagaimanapun, saya yakin akan meneruskan serta menambah baik kejayaan yang telah dibawa beliau selama ini, tambahan pula beliau sendiri yang memilih saya untuk menggantinya di sini,” jelasnya.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor akan ditentang Wan Saiful.

Tiga lagi calon yang disahkan bertanding di kerusi itu ialah calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan serta calon Warisan, Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).