PRU-15: PN yakin mampu bentuk kerajaan, tidak timbul soal gabungan politik

PERIKATAN Nasional (PN) optimis dan yakin bahawa gabungan itu mampu membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke – 15 (PRU-15) selain menegaskan tidak timbul isu gabungan politik buat masa ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan sokongan terhadap gabungan itu semakin meningkat dan mood perubahan yang ditunjukkan rakyat sehingga kini.

“Di sebalik pelbagai ramalan nujum politik, kita lihat sokongan kepada PN semakin jelas khususnya dikalangan pengundi muda untuk melihat sebuah kerajaan bersih dari rasuah dan salahguna kuasa.

“Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tegas beliau, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kerjasama anatara PN dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU-15 hanyalah pilihan sedia ada, dan ia telah sedia diulas oleh pelbagai pihak, justeru tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini.

Namun bagi PN katanya, usaha berterusan bagi membentuk kerajaan PN adalah kehendak rakyat teramai mesti dipertingkat.

“Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah PH selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

“Demikian juga dengan BN dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan pelbagai salahlaku dikalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaitu kerajaan PN.

“Saya yakin kita mampu lakukannya,” ujarnya lagi.–SB