Muhyiddin tolak dakwaan kononnya Bersatu-PAS ‘kahwin mutaah’

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya hubungan dan kerjasama antara Bersatu dan PAS dalam gabungan itu, diibaratkan seperti “kahwin mutaah” (kontrak/sementara).

Sebaliknya, Presiden Bersatu itu menyifatkan jalinan kerjasama antara kedua-dua parti itu cukup baik dan rapat, memandangkan mereka merupakan pengasas kepada penubuhan gabungan tersebut.

“Kita punya jalinan kerjasama cukup kuat, sebab PAS adalah pengasas PN, lepas tu Gerakan sertai (PN), kemudian Sabah; Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tetapi pengasas ialah Bersatu dan PAS, ini (hubungan) bukan mutaah.

“Kami dari segi politik, jalinan kami cukup baik. Mereka (pihak yang mendakwa) kata begitu mungkin (kerana) sokongan kami cukup kuat,” katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid, yang mendakwa hubungan Bersatu dan PAS dalam PN diibaratkan sebagai perkahwinan “mutaah”.

Mahdzir sebelum ini dilaporkan berkata hubungan Bersatu dan PAS diibaratkan sebagai perkahwinan mutaah atau sementara, dan bukan sesuatu yang menghairankan jika pemimpin kedua-kedua parti mengeluarkan kenyataan bercanggah, berhubung pendirian mereka.

Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu berkata, Barisan Nasional (BN) kini sudah melalui proses ‘mufarakah’ (berpisah) sejak kekalahan mereka pada 2018.

“BN pun kahwin kontrak jugak, tapi selepas dia kalah dia sudah berpisah. Jangan main-main, kita punya jalinan kerjasama cukup rapat sebab Pas dan Bersatu adalah pengasas PN, Gerakan dan lain-lain sertai kemudian.

“Tiada begitu, sebaliknya BN yang mutaah kemudian sudah mufarakah (berpisah) pula, dahulu 14 (parti komponen) kini hanya tinggal tiga sahaja (UMNO, MCA, MIC),” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN merupakan gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

“Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya, kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar Ibrahim boleh tunjukkan tak, kalau dia ada bukti tunjukkan, jika tiada bermakna dia pembohong dan pengundi jangan percaya.

“Sebaliknya kita merupakan sebuah parti baharu, kita tidak mempunyai sumber yang besar, kami bergantung kepada orang-orang yang mahu membantu perjuangan kami, itu sahaja,” katanya.

Hari ini, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19. – SB