PIHAK pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memohon untuk mengemukakan rakaman audio bagi menyangkal pembelaan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri itu adalah sumbangan.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhujah bahawa rakaman audio itu yang didakwa perbualan antara Najib dengan seorang pemimpin Asia Barat, adalah amat relevan bagi menyangkal pembelaan tertuduh.
“Kami berhujah bahawa kandungan pita rakaman itu dan transkripnya sedikit sebanyak, jika tidak secara keseluruhan, akan menyangkal pembelaan bahawa tertuduh telah menerima sumbangan dan beliau fikir beliau berurusan dengan wang yang disumbangkan kepadanya.
“Saya perlu menjawab serta menyangkal pembelaan itu dan bagi tujuan berkenaan, bukti ini amat relevan,” katanya pada perbicaraan kes Najib didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
Semalam, Sri Ram memainkan klip audio itu di mahkamah apabila saksi ke-42 pendakwaan yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, 65, mengenal pasti satu daripada suara terbabit kedengaran seperti Najib.
Suara kedengaran seperti Najib itu telah memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB serta International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.
Sri Ram berkata, rakaman itu harus diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bahawa ia adalah ‘peruntukan khas’ yang mengatasi Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen.
“Bagi tujuan itu, kami juga berhujah bahawa pita rakaman atau rakaman seperti ini adalah satu dokumen. Yang Arif, meskipun audio itu diperoleh secara tidak teratur atau tidak sah, ia masih boleh diterima masuk,” katanya.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun membantah permohonan untuk mengemukakan rakaman audio dan transkrip itu sebagai bukti pada perbicaraan berkenaan.
Muhammad Shafee membuat bantahan itu atas alasan ia dirakam secara haram, justeru tidak boleh digunakan di mahkamah, selain menegaskan ia adalah perbualan antara dua pemimpin negara.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, bersambung esok dan Pengerusi Kumpulan The Edge Media, Tan Sri Tong Kooi Ong, dijangka memberi keterangan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.