Kenyataan Khairy bukti PN mampu tadbir, urus negara

PENGALAMAN menangani wabak Covid-19 di dua kementerian dalam tempoh dua tahun lalu membuatkan Khairy Jamaluddin berasa layak untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Namun, pada masa sama Menteri Kesihatan kerajaan sementara yang sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, seperti mengesahkan keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk mentadbir dan menguruskan rakyat.

Ini kerana beliau memperoleh pengalaman menangani Covid-19 ketika berada dalam Kabinet Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam temu bual bersama BFM hari ini (15 November 2022) Khairy yang tidak diberikan tempat untuk bertanding dalam PRU-15 oleh UMNO, sebaliknya terpaksa meminta kerusi MIC, mengulas prestasi beliau menguruskan pandemik itu adalah bagus.

“Saya rasa prestasi kita bagus sebagai sebuah negara dan saya telah memainkan peranan dalam mengemudi (negara) mengatasi wabak,” katanya yang memulakan tugas sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional pada 10 Mac 2020, ketika Covid-19 mula melanda negara.

Pada 4 Februari 2021, Muhyiddin mengamanahkan kepadanya tanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata rakyat Malaysia telah menyedari bahawa apa yang dilakukan PN sebelum ini dalam menangani pandemik Covid-19, termasuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah untuk kepentingan mereka juga.

Akhbar kewangan terbesar dunia dengan edaran harian melebihi 1.73 juta naskhah, Nikkei Asia berkata disebabkan itu Muhyiddin yakin rakyat akan menyokong gabungan parti politik berkenaan dalam PRU-15 pada 19 November ini.

Sementara itu, mengulas lanjut Khairy berkata beliau merasakan dirinya seorang yang berdaya maju untuk memimpin negara susulan peranannya ketika wabak Covid-19, apabila beliau mula ditugaskan untuk memperoleh vaksin sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Pengalaman itu telah mendorong saya menawarkan diri (sebagai perdana menteri), sekurang-kurangnya memasukkan nama saya dalam perbincangan … untuk memimpin negara mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.” kata Khairy.

Khairy, calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, kali pertama menyuarakan impiannya untuk menjadi perdana menteri pada ceramah Selasa lepas dengan berkata, beliau berharap untuk menjadi perdana menteri “suatu hari nanti”.

Ismail Sabri Yaakob adalah antara pemimpin yang menyokong beliau untuk menyandang jawatan tertinggi berkenaan.

Ditanya apa yang dapat beliau tawarkan kepada negara, penyandang Ahli Parlimen Rembau tiga penggal itu yang tawar hati untuk menyerahkan kerusi Rambau kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau berharap dapat memperbaharui ekonomi, sistem pendidikan dan program kebajikan sosial. -SB