Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: Ramalan tewas di Pagoh, Muhyidin tak kisah -

PRU-15: Ramalan tewas di Pagoh, Muhyidin tak kisah

TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil pusing mengenai ramalan kekalahannya bagi kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dakwaan sedemikian tidak sesekali menggugat keyakinannya untuk meraih kemenangan bagi kerusi yang disandangnya sejak enam penggal lalu.

“Tak apalah (jika ada) orang tak suka saya, jika tidak (ada) yang ramal pun, mereka akan kata biar saya kalah. Tidak mengapa, ia sekadar pandangan.

“Saya berada di sana (Pagoh) hampir setiap hari, dah lama di Pagoh, lebih 40 tahun. Orang Pagoh tahu apa yang saya lakukan. Saya sentiasa menjawab pelbagai isu dan masalah mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN, di Ibu Pejabat PN, Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian mengenai dakwaan yang tersebar termasuk menerusi aplikasi Whatsapp, yang meramalkan Muhyiddin bakal kalah di kerusi Pagoh.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyuarakan kemungkinan Muhyiddin kehilangan sokongan pengundi di Pagoh kerana gabungannya bekerjasama dengan parti konservatif, PAS.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU bagaimanapun optimis kepercayaan kukuh masyarakat di Pagoh akan membantunya terus menerajui kerusi Parlimen itu.

“Saya yakin dan percaya sebahagian besar penduduk di Pagoh, termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli akan bantu bagi saya meneruskan peranan sebagai Ahli Parlimen di Pagoh. Apa pun ramalan, tidak mengapa.

“Ada orang kata saya akan menang cemerlang, ada juga kata saya (bakal) kalah teruk, semuanya saya pertimbangkan.

“Tapi saya tahu denyutan nadi orang Pagoh yang sebahagian besarnya mengharapkan supaya saya beroleh kemenangan,” katanya, lapor BH Online.

Muhyiddin berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRU-15, dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim yang mewakili BN dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).