TIADA ruang bagi pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang takut berdepan DAP, kata Datuk Seri Azmin Ali.
Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan keputusan gabungan itu mencalonkan bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang, Mansor Othman, bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.
Ketua penerangan PN itu berkata, ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, Mansor tidak pernah gentar menegur pimpinan DAP.
Azmin turut menyelar PKR seperti “tikus” apabila berurusan dengan pimpinan DAP, terutama dengan pengerusinya, Lim Guan Eng dan veteran parti itu, Lim Kit Siang.
“Anwar Ibrahim tidak berani mengkritik Guan Eng dan Wan Azizah takut menegur Kit Siang,” katanya pada ceramah, malam tadi.
“Itulah sebabnya PN menampilkan calon di Nibong Tebal yang berani berdepan Guan Eng,” katanya lapor FMT.
Mansor merupakan bekas ketua PKR Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri I, bermula 2009 hingga 2013. Beliau juga pernah menyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal selama dua penggal dan menang dengan majoriti 15,817 undi, pada pilihan raya umum 2018.
Walaupun Azmin tidak memberikan penjelasan lanjut, terdahulu dilaporkan Mansor menyifatkan Guan Eng sebagai sombong dalam rakaman bocor menjelang pilihan raya umum 2013.
Mansor juga mendakwa rakyat Pulau Pinang mula beranggapan Guan Eng seperti “tokong”.
Bagaimanapun, beliau kemudian menjelaskan ungkapan itu merujuk kepada “sanjungan”. Beliau juga menafikan memanggil Guan Eng “sombong”.
Azmin juga membidas PKR susulan mengemukakan calon “kroni” di Nibong Tebal. Senator Fadhlina Sidek bersaing di kerusi berkenaan bawah tiket Pakatan Harapan (PH), pada PRU-15, 19 Nov.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.