GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Datuk Rubin Balang sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu secara terang-terangan menyokong calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, laporan lengkap perlu diperoleh dan diteliti sama ada benar Rubin berkempen dan menyokong
calon Bebas itu yang juga ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Calon Bebas berkenaan, Riduan Rubin adalah anak kepada Rubin.
“Kita mesti adil kepada semua kalau dia terlibat secara langsung kita boleh ambil tindakan, saya akan minta laporan dahulu.
“Kalau dari segi gambar sahaja… duduk dengan anak, kita tidak boleh ambil tindakan, tetapi kalau betul dia menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan,” katanya mengulas mengenai dakwaan gambar Rubin dan anaknya bersama kepimpinan Parti KDM semalam.
Selain itu, Hajiji memaklumkan Riduan bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sudah keluar daripada parti itu sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.
Rubin merupakan ahli Bersatu Tenom, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa GRS mengambil tindakan disiplin terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada PRU15.
Ia berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa menjadi dalang dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan, semalam.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan yang dimeterai di antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Riduan yang merupakan seorang calon Bebas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Tenom disahkan menyertai Parti KDM.
Dalam saingan lima penjuru di Tenom melibatkan penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.