Dua lagi PPS dibuka babit 117 mangsa di Pulau Pinang

0
194

DUA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Pulau Pinang dibuka untuk menempatkan banjir di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan (SPS) menjadikan jumlah keseluruhan yang dibuka sehingga pagi Sabtu adalah tiga buah.

Tiga PPS yang dibuka adalah dua di Bukit Mertajam dan satu di Tasek Gelugor dengan jumlah keseluruhan mangsa 117 orang.

PPS yang dibuka di Bukit Mertajam adalah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) True Light dan Dewan Orang Bukit Teh, manakala di Tasek Gelugor adalah di Dewan Banjir Desa Puri.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS di Dewan Orang Ramai Bukit Teh dibuka pada jam 9.30 malam Jumaat.

Menurutnya, sehingga 6 pagi Sabtu, seramai tujuh keluarga melibatkan 22 orang ditempatkan di situ yang terdiri daripada 12 orang dewasa, lapan kanak-kanak, dua bayi dan dua warga emas.

“Di Dewan Banjir Desa Puri pula, PPS ini dibuka pada jam 2.30 pagi. Sehingga 6 pagi ini, ia menempatkan lapan orang yang datang daripada dua buah keluarga.

“Mereka adalah lima orang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua warga emas,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Boon Poh berkata, jumlah mangsa di PPS di SJKC True yang dibuka pada 8.10 malam Jumaat bertambah daripada 65 ke 87 orang.

“Sehingga jam 6 pagi tadi (Sabtu), jumlah keluarga yang dipindahkan adalah 27 keluarga melibatkan 87 mangsa berbanding semalam (Jumaat), hanya 65 orang daripada 20 keluarga.

“Pagi ini, jumlah mangsa bertambah dengan 53 orang dewasa, 22 kanak-kanak, dua bayi, sembilan warga emas dan seorang orang kurang upaya,” katanya.

Beberapa kawasan di Bukit Mertajam mengalami banjir kilat selepas hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak jam 5 petang Jumaat.

Lokasi yang dinaiki air adalah Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma, Taman Impian, Taman Sukun dan Taman Mangga.

Selain itu, Taman Sentul, Kampung Dock, Taman Macang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Taman Sejahtera, Taman Selamat dan Taman Kota Permai turut dinaiki air.

Taman Permai Jaya, Taman Pekaka, Taman Pinang, Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Taman Jasa Intan, Taman Saujana Indah dan Taman Jaya juga dilaporkan mengalami banjir kilat.

Sehingga jam 7.15 malam Jumaat, semua lokasi tersebut masih mengalami banjir kilat dengan hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam yang mana, ia dikategorikan sebagai sangat lebat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here