DATUK Seri Anwar Ibrahim dan calon Melayu yang diletak serta disokong DAP serta Pakatan Harapan (PH), hanya sekadar ‘kuda tunggangan’ bagi mencapai cita-cita ekstrem parti itu dalam Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menjadikan Singapura sebagai contoh bagaimana kuasa orang Melayu terhakis sedikit demi sedikit, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata DAP menggunakan orang Melayu sebagai taktik politik untuk berkuasa di negara ini.
“DAP turut mengemukakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan meletakkan calon-calon Melayu bertanding. Pengundi Melayu kena faham bahawa ini adalah taktik politik.
“Meletakkan Anwar bertanding di Perak… nak jadikan Perak seperti Singapura?… jangan. Ini taktik pernah digunakan PAP Singapura yang menonjolkan Yusof Ishak untuk menjadi Presiden Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut di Selama, malam tadi, lapor Agenda Daily.
Abdul Hadi menarik perhatian pengundi Melayu, bahawa dalam PRU-15 supaya tidak dipergunakan DAP sebagaimana dilakukan PAP Singapura untuk menawan politik negara itu dahulu.
“Menteri-menteri Melayu ditonjolkan untuk menawan Singapura. Lee Kuan Yew boleh baca Jawi, pakai songkok. PAP ini ditubuhkan masa Singapura masuk Malaysia. Bila Singapura keluar Malaysia, PAP ditukar jadi DAP,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, kedegilan sesetengah pemimpin UMNO terutama Majlis Kerja Tertinggi menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggagalkan perpaduan ummah yang dibentuk menerusi Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya kata beliau, pemimpin UMNO sanggup pula untuk bersekongkol dengan Anwar serta DAP di bawah khemah besar untuk membentuk kerajaan di Perak.
Abdul Hadi berkata, ada pemimpin UMNO meminta kerajaan PN supaya kesnya digugurkan, seperti dilakukan PH apabila mentadbir negara.
Menurutnya apabila tidak dilayan, mereka menarik sokongan menjatuhkan kerajaan PN dan mahu mengadakan pilihan raya segera kerana ‘nak kejar dengan kes mahkamah’.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.