DATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa membuat poster gergasi bertujuan memperkenalkan dirinya kepada penduduk kawasan Parlimen Tambun, kerana beliau bukan orang tempatan, kata calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Lagi pula, Anwar yang juga calon Pakatan Harapan di Tambun, mempunyai banyak wang untuk membuat poster berkenaan, Ahmad Faizal berkata beliau sendiri tidak mempunyai wang yang banyak.
Pengerusi PN Perak itu berkata, beliau juga teringin untuk berbuat demikian sekiranya mempunyai duit.
“Dia perlu memperkenalkan diri dia. Kalau dia buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan dengan itu mungkin dapat menarik perhatian orang Tambun.
“Itu kreativiti beliau, saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen di dalam pilihan raya,” katanya kepada media selepas melancarkan Esports Youth Cabin Negeri Perak di Ipoh, hari ini, lapor Agenda Daily.
Beliau mengulas pemasangan beberapa poster ‘gergasi’ Anwar di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dan berhampiran pintu gerbang Gugusan Manjoi.
Poster di Gugusan Manjoi yang terpampang sosok Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar dengan ketinggiannya dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.
Mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan posternya malam tadi, Ahmad Faizal berharap kejadian itu tidak akan berulang.
“Kita menghargai demokrasi, kita menghargai kepelbagaian pendapat dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih.
“Namun kalau kita masih ada sikap seperti tidak faham proses demokrasi, tiada semangat demokrasi dalam pilihan raya ini, tentu ia akan mengundang kepada ketidakstabilan politik kerana apabila kita melakukan sesuatu, tentunya ada reaksi daripada pihak yang lain.
“Kalaulah dalam kalangan penyokong saya pula yang berada dalam berasa marah kerana keadaan itu berlaku, ia tentu akan mengundang masalah lain,” ujarnya.
Penyandang Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.