Tuduhan terhadap tentera, Anwar perlu minta maaf

0
320

DAKWAAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera di sini yang sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian adalah fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dakwaan Anwar juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

“Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf (tapi) bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media di selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Bongkok di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anwar yang disiarkan sebuah portal berita kononnya terdapat kem tentera terutamanya di Bera, yang melaksanakan undian awal hari ini, selain dikatakan dibayar RM300. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here