CALON BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin menyindir PKR berkaitan pengisytiharan harta dengan berkata, DAP juga tidak berbuat demikian.
“Kalau PKR nak buat boleh. Tiada masalah.
“Tapi rakan PKR pun tak buat. DAP pun tak buat. Tapi biarlah, itu pendirian (parti) masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas hadir melancarkan pengorepasian Hospital Cyberjaya, lapor FMT.
Khairy berkata demikian ketika ditanya pendiriannya berhubung pengisytiharan harta seperti dilakukan oleh PKR, dan adakah parti-parti lain perlu melakukan perkara yang sama.
Semua calon PKR dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, tetapi keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini.
Semalam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, parti itu tidak bercadang untuk mewajibkan semua calon mereka yang bertanding pada PRU-15 mengisytiharkan harta.
Menurut Loke, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengisytiharan harta sudah menjadi amalan yang dilakukan oleh BN.
Bagaimanapun, Khairy berkata, mereka akan mengisytiharkan harta selepas membentuk kerajaan dan dilantik menjadi menteri di peringkat persekutuan.
“Saya pun dah isytihar harta kepada SPR dan harta saya berada dalam julat harta yang dibenarkan oleh SPRM,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.