Rakyat jangan lupa jasa Perikatan Nasional

0
331

RAKYAT yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan baharu, diingatkan agar tidak melupakan jasa Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah diberi peluang menerajui kepimpinan negara.

Calon PN Parlimen Wangsa Maju, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, parti tersebut di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri  telah berjaya mengemudi negara ini dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, yang ketika itu dilanda pandemik Covid-19.

“Pada 19 Nov ini pengundi PRU-15 akan membuat keputusan. Maka, dalam kesempatan masa yang ada, khususnya jentera PN hendaklah kita penuh yakin dengan  parti yang kita dokongi ini, walaupun ia parti yang baharu dan ini pertama kali logo PN memasuki PRU di negara ini,” ujar beliau memetik laporan Harakah Daily.

Nuridah membuat ucapan penuh bersemangat itu pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden Pas di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur pada Khamis, menyaksikan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir memberi semangat kepada calon-calon Pas di Wilayah Persekutuan yang bertanding pada PRU15 atas tiket PN.

Selain Nuridah, turut hadir ialah calon Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam; Ustaz Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

“Jangan lupa, walaupun PN sebelum ini pernah menjadi pemerintah negara tanpa sebarang manifesto buat rakyat tetapi Allah SAW izinkan parti ini memberikan khidmat yang terbaik buat seluruh warga Malaysia.

“Namun, dengan kerenah beberapa pihak, Abah (Muhyiddin)  terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri, namun saya  percaya tentu masih ingat betapa PN dapat memimpin Malaysia dengan penuh keprihatinan, stabil dan bersih,” ujarnya.

Menurut beliau, faktor positif itu menjadi pendorong buat jentera PN bahawa parti masuk PRU-15 adalah untuk  menang.

“Sudah pasti boleh (menang)! Kepada pengundi diharap tuan-tuan dan puan-puan jangan ragu-ragu lagi untuk memberi kepercayaaan kepada calon-calon PN di seluruh negara, insya-Allah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here