SELEPAS Selangor dan Negeri Sembilan, Pulau Pinang turut mengisytiharkan cuti khas pada 18 November ini, sehari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika mengumumkan demikian, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata hari cuti itu akan memberikan masa dan kemudahan kepada rakyat menjelang hari pengundian.
“Bersempena PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan cuti khas negeri pada 18 November iaitu pada Jumaat.
“Cuti khas negeri ini adalah untuk memberikan kemudahan dan juga sebagai galakan kepada rakyat Pulau Pinang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor BH.
Semalam, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan cuti umum pada hari sama untuk menggalakkan rakyat negeri berkenaan membuat persiapan dan mengundi pada 19 November ini.
Sebelum itu, pengumuman cuti pada 18 November dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memudahkan pengundi yang bukan rakyat negeri itu untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.