
NEGERI Sembilan menyusul selepas Selangor mengisytiharkan cuti umum negeri pada 18 Nov bagi membolehkan orang ramai mengundi pada pilihan raya umum ke-15.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Razali Ab Malik berkata cuti negeri itu bertujuan menggalakkan orang ramai mengundi dan membuat persiapan pada hari pengundian.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada 9 Nov 2022 telah bersetuju untuk memberikan cuti umum pada 18 Nov, sehari sebelum pilihan raya umum ke-15,” katanya, lapor FMT.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti negeri.
Beliau berkata terdapat ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Selangor, tetapi mengundi di kampung halaman mereka di negeri lain.
Amirudin juga menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum di seluruh negara untuk semua rakyat Malaysia bagi memudahkan mereka membuang undi pada 19 Nov.
Semalam, Ismail berkata kerajaan akan mengkaji cadangan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 Nov.