4 negeri berisiko banjir kilat dalam tempoh 12 jam

PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran, mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan berlaku banjir kilat membabitkan enam daerah di empat negeri.

Menurut notis itu, berdasarkan ramalan hujan daripada model ‘Numerical Weather Prediction’ (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS), negeri berkenaan ialah Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak.

Ia meramalkan kawasan terbabit berisiko dilanda banjir kilat jika hujan lebat dan ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam dari notis itu dikeluarkan pada jam 5 petang tadi.

Di Pahang, lokasi yang berisiko banjir kilat ialah daerah Rompin membabitkan Kampung Janglau 1, 2 dan 3; Kampung Serinkin; Kampung Setajam; Kampung Pianggu dan Kampung Sarang Tiong.

Di Selangor, daerah berisiko ialah Klang membabitkan Kampung Delek, Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa, Taman Melawis, Teluk Pulai, Taman Petaling, Taman Sentosa, Taman Saujana, Taman Rashna, Kampung Bukit Naga, Batu 8 Jalan Bukit Kemuning, dan Pandamaran.

Di Johor, lokasi diramalkan berisiko banjir kilat di daerah Mersing ialah Kampung Air Tawar; Kampung Semaloi, Kampung Asli Labong, Kampung Sg Padang, Kampung Kuria Batu 4, dan Mukim Triang, manakala di daerah Pontian pula Kampung Bugis, Batu 6, Kampung Parit Jerman, Kampung Penerok, Jalan Makam, Kampung Penghulu Bakar, Kampung Permas serta Kampung Parit Sulaiman.

Di Sarawak, kawasan berisiko di daerah Kuching ialah Kampung Batu Kitang, Batu Kitang KM10, Kampung Stenggang, Kampung Mambong, Kampung Bratan dan Kampung Selampit, selain di daerah Serian membabitkan Taman Duranda Mas, Kampung Duras Batu 16 dan 17, Jalan Kuching Tapah Lama, Jalan Kampung Batu Gong serta Siburan Bazaar.

Menurut BH Online, notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan supaya semua penduduk, terutama di kawasan berisiko, berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh itu.

Orang ramai sekali gus dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.