MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini, meletakkan kenderaan masing-masing di tempat tinggi susulan beberapa kawasan sekitar daerah itu dilanda banjir kilat.
Berdasarkan hantaran ringkas di Facebook rasminya, MBSA membuka tempat letak kenderaan bertingkat di Pasar Moden Sri Muda untuk orang ramai meletakkan kenderaan.
“Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam, sila hubungi pasukan PANTAS di talian 03-55105811,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu, mengikut Notis Kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa kawasan di negeri berisiko dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat dan ribut petir yang signifikan.
Kawasan berkenaan adalah Taman Mesra dan Seksyen 13, Shah Alam; Lebuhraya BESRAYA, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, Sri Kembangan bagi daerah Petaling dan Kampung Rantau Panjang bagi daerah Kuala Selangor.
Daerah Gombak membabitkan Kampung Sungai Kertas, Jalan 11C Selayang Baru, Jalan 21,23 dan 62 Selayang Baru, Kampung India Settlement, Taman Sri Selayang, Jalan 23, 21 dan 62 Selayang Baru, Persimpangan Bukit Botak, dan Jalan Laksamana 10 Selayang.
Terdahulu, longkang tersumbat dipercayai menjadi punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat jam 3 petang tadi.
Di laman Twitter, pengguna turut melaporkan berlaku banjir kilat di Kampung Sungai Kandis, Alam Impian, Bukit Jelutong, Seksyen 32 dan Seksyen 36.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.