Anggota polis terbunuh kemalangan motosikal selepas bertugas pantau PRU-15

0
210

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG anggota polis berpangkat Koperal terbunuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Uban, Pulau Pinang selepas selesai melakukan kerja-kerja pemantauan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) malam tadi.

Mangsa, Koperal Abu Talib Sarif, 33, maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel), kira-kira pukul 12.48 tengah malam tadi.

Kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 5.3 Jambatan Pulau Pinang (menghala ke bahagian pulau) dan mangsa difahamkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Hilux itu di kawasan penutup lorong.

Mangsa yang telah berkahwin baru berkhidmat di bahagian tersebut Oktober lalu selepas ditukarkan dari Cawangan Trafik di IPK yang sama.

Jenazahnya dijangka dikebumikan selepas di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah selepas solat zuhur hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here