TIMBALAN Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan tiada calon gabungan itu yang menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, semua calon yang disenaraikan untuk bertanding termasuk 64 daripada PAS menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon di seluruh negara.
“Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, yang baharu beberapa hari menyertai PAS juga turut menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mewakili parti mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14,” katanya kepada media selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Marang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris.
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga penyandang kerusi Parlimen Marang yang diiringi 1,000 penyokong tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon, kira-kira jam 8.48 pagi.
Pada PRU14, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 21,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot dan Zarawi Sulong (PKR).
Pada PRU15, Abdul Hadi dicabar tiga calon iaitu Jasmira Othman daripada BN, Azhar Ab Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (PEJUANG).
Abdul Hadi berkata, beliau akan turun ke seluruh negara untuk membantu kempen calon PN yang bertanding pada PRU15.
Bagaimanapun, katanya, Parlimen Arau tidak termasuk dalam jadual program turun padang kerana yakin akan kemampuan Shahidan dan penyokong PN di negeri itu.
“Kita yakin dengan kemampuan Shahidan untuk menggelombangkan Arau dan Perlis,” katanya.
Mengulas mengenai kempen, Abdul Hadi berkata jentera pilihan raya PAS diminta mengamalkan kaedah berkempen secara berhemah dan tidak melakukan sebarang provokasi.
“Saya sudah memberi taklimat kaedah berkempen dan semua jentera diminta mengutamakan agenda perpaduan ummah bertujuan menyatukan umat Islam dan Melayu,” katanya lapor BH Online.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.