RAKYAT, khususnya pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini, perlu menolak pemimpin gila kuasa yang sanggup mengetepikan perpaduan dalam kalangan ummah.
Keadaan itu berlaku di dalam UMNO sendiri apabila parti itu hanya sanggup bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), dengan menolak Bersatu, selain mengenakan syarat yang dilihat memutuskan hubungan sesama ummah.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata disebabkan itu PAS membuat keputusan memilih Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu.
“PAS memilih PN, bukannya MN kerana adanya mereka yang gila kuasa dalam UMNO sehingga sanggup menghancurkan penyatuan yang telah dibina.
“Golongan seperti ini harus ditolak dalam PRU-15,” kata Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dalam satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini (4 November 2022).
Abdul Hadi menceritakan semula peristiwa pertemuan beliau dan timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, di sebuah hotel.
“Selepas Parlimen dibubarkan, diajak kami jumpa… Dia ajak nak jumpa kami, PAS. Dia siar dalam media, PAS nak minta jumpa dia. Takpelah… kalau PAS nak menghadap dia.
“Padahal, dia minta nak jumpa kita. Kita bersedia. Jumpa di hotel. Saya dengan timbalan presiden (Tuan Ibrahim), UMNO (Zahid) dengan timbalan presiden (Mohamad).
“Lalu dia beri syarat. PAS boleh bersama dengan UMNO, hanya sekiranya PAS terima UMNO sahaja. Putus dengan parti-parti lain khususnya parti Bersatu. Kami (UMNO) beri tempoh sehingga hari Jumaat. Jumpa hari Rabu.
“Jam 12 malam hari Jumaat, PAS mesti buat keputusan. Kalau tak bjuat keputusan, takde kerjasama dengan PAS. Dia boleh perintah kita,” katanya.
Syarat memutuskan hubungan itu dijelaskan sendiri oleh Zahid dalam kenyataan pada 2 Oktober lalu iaitu:
*PAS perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN);
*PAS mesti memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; dan
*PAS mesti mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ (putus hubungan) dan bukan hanya sekadar retorik politik.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dalam pertemuan itu Zahid juga mengatur kerusi-kerusi yang perlu ditandingi PAS, termasuk memindahkan kerusi calon bertanding pada pilihan raya.
“Kerusi PAS di Pasir Putih, Kelantan bagi kat dia. Kemudian, wakil rakyat Kubang Kerian balik Jerantut. Tukar situ, tukar sini. Dia tukar atur kerusi kita pulak.
“Akhirnya, kami buat keputusan, PN bukan MN,” kata Abdul Hadi yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU-15, 19 November ini lapor Agendadaily.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.