PRU-15: Pas yakin tawan Pokok Sena

0
318

PAS Kedah yakin dapat mengembalikan Parlimen Pokok Sena kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas gelombang sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin mengecil.

Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keyakinan itu disandarkan menerusi data hasil kajian di lapangan yang dilakukan oleh Pas biarpun kerusi itu disandang oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar selama dua penggal.

“Pada PRU-14 dia macam ada gelombang pengundi yang menyokong PH pada waktu itu, tapi kali ini kita lihat gelombang itu tidak terlalu besar tetapi memberi isyarat sokongan kepada PN.

“Angin perubahan itu kita rasa sudah bertiup kencang dari hari ke hari, sebab itu kita meletakkan keyakinan untuk mengembalikan Pokok Sena kepada Pas kerana memang Pokok Sena sejak adanya pilihan raya sebelum ini hingga sekarang banyak yang berada di tangan Pas,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan calon Parlimen PN Kedah pada PRU-15 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketika ditanya adakah beliau gentar akan bersaing dengan calon ‘heavyweight’ di Pokok Sena, Ahmad berkata, setakat ini beliau tenang kerana melihat kepada sokongan dan maklum balas daripada pengundi dan rakyat.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan ketokohan seseorang pemimpin yang ada pengalaman dan lama memberi khidmat di parlimen itu.

“Apapun untuk setiap parti yang bertanding kali ini akan berada di garisan yang sama, tidak akan lari daripada cabaran untuk merebut undi daripada kalangan anak muda.

“Tapi Pas dan PN kita ada cara yang tersendiri yang kita yakin anak muda akan bersama dengan kita, mereka sangat membenci rasuah dan prihatin terhadap kepada apa saja yang berlaku kepada negara.

“Jadi di atas asas itu, anak muda ada pengalaman sedikit sebanyak mengenai bentuk pemerintahan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) yang sarat dengan individu yang terbabit rasuah.

“Mereka juga ada pengalaman dengan menyaksikan bagaimana bentuk pemerintahan atau corak dan cara yang dibawa oleh PH selama 22 bulan,” katanya.

Ahmad dijangka bakal bertembung dalam pertandingan tiga penjuru di Pokok Sena menentang Mahfuz (PH) dan Noran Zamini Jamaluddin (BN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here