Tok Pa tarik diri?

PENYANDANG Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikatakan berundur diri dari mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dikatakan tidak bertanding atas faktor kesihatan walaupun pada awalnya beliau dicalonkan di kerusi itu.

Desas desus mengatakan Perikatan Nasional akan meletakkan Setiausaha Politik Mustapa, Zahari Kechik untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

Berita itu agak mengejutkan memandangkan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih dikenali sebagai Tok Pa sudah menyandang Parlimen selama enam penggal sejak 1995.

Sementara itu, Zahari ketika dihubungi mengesahkan Mustapa tidak akan bertanding di Parlimen berkenaan tetapi tidak mengulas mengenai namanya disebut-sebut menggantikan di Parlimen itu.

“Beliau tidak bertanding atas faktor kesihatan dan doktor meminta beliau berehat,” katanya.

Ditanya adakah benar beliau yang akan menggantikan Mustapa di kerusi berkenaan, Zahari berkata ia hanya desas desus dan beliau sendiri belum dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Jika benar saya dipilih, saya akan terima. Namun setakat ini saya belum dimaklumkan oleh pihak parti dan sehingga tengah hari ini saya belum menerima jemputan untuk majlis pengumuman calon malam ini,” katanya lapor Berita Harian.

Mustapa sebelum ini memenangi Parlimen Jeli pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum beliau menyertai BERSATU, komponen dalam PN.

PN malam tadi tidak mengumumkan calon kerusi Parlimen di Kelantan.