SELEPAS tiada pemimpin utama MIC pusat menghadiri pengumuman calon malam tadi bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kini pemimpin sayap di Pahang pula memboikot majlis pagi tadi.
BN Pahang dijadualkan membuat pengumuman calon pagi ini, namun Pengerusi MIC negerinya, V. Arumugam mengesahkan tidak akan menghadiri program pagi ini kerana mempunyai mesyuarat jawatankuasa kerja di Kuala Lumpur.
“Saya dimaklumkan mengenai mesyuarat terseut malam tadi. Saya sudah maklumkan kepada Pengerusi BN Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bahawa saya tidak akan hadir,” katanya dipetik laporan NST.
Arumugam bagaimanapun difahamkan akan kekal bertanding di Sabai, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisinya.
Sementara itu, sumber berkata ketua bahagian MIC dan penyokong mereka diberitahu untuk tidak menghadiri majlis itu sehingga jawatankuasa kerja pusat parti mengakhiri mesyuaratnya hari ini.
Malah, calon MIC bagi DUN Sabai tidak akan hadir, kata sumber itu.
Malam tadi, calon parlimen MIC tidak menghadiri pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Presiden parti Tan Sri S.A. Vigneswaran dilaporkan berkata MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 10 pagi hari ini.
MIC Pahang hanya akan bertanding di kerusi DUN Sabai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.