Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin

PN, PAS tawar manifesto lebih realistik

PAS bersama PERIKATAN NASIONAL tidak menjanjikan bulan dan bintang dalam manifesto untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, ia berikutan negara bakal berhadapan dengan suasana ekonomi yang mencabar pada tahun hadapan.

Katanya, ia telah dimaklumkan semua penganalisis politik dan ekonomi di mana tahun hadapan adalah tahun yang mencabar dari sudut kegawatan ekonomi dunia.

“Jadi apa yang kita boleh berikan kepada rakyat ialah bukan kita beri makanan semata-mata kepada rakyat tetapi kita memberikan umpan kepada rakyat.

“Saya teringat Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, menceritakan tentang kerjasama erat dengan PERKESO melahirkan peluang pekerjaan, yang membolehkan bukan sekadar ekonomi gig kepada anak muda juga diberikan keselamatan, perlindungan insurans dan sebagainya.

“Apa yang kita janjikan adalah perkara yang berteraskan kepada yang dibolehkan berdasar kantung kewangan negara, yang boleh buat dan perkara itu pun termaktub di dalam Bajet 2023,” katanya pada temubual Agenda Awani bertajuk ‘Calon PRU15 Tahu Apa Rakyat Mahu?’, malam tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, Bajet 2023 diteliti oleh rakyat untuk memilih kerana ia merupakan dokumen janji-janji kerajaan keluarga Malaysia yang didukungi PN, BN juga GPS dan bukannya PH.

“Jadi kalau kita tengok dekat situ banyak benda-benda baik yang boleh diberikan kepada rakyat untuk umpan mereka lebih berdaya saing mendapat faedah yang diberikan oleh kerajaan.

“Asasnya ialah apa jua yang akan kita berikan kepada rakyat termasuk masalah gaji rendah, kekurangan kerja atau keamanan khususnya kepada anak muda semuanya mesti tangible dan boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita tidak mahu manifesto bersifat janji kosong yang akhirnya seperti mana berlaku kepada PH, manifesto itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya.