Sukan, media sosial senjata PN pikat pengundi muda

0
240

SUKAN dan media sosial akan menjadi ‘senjata’ Perikatan Nasional (PN) Perlis untuk mendekati kelompok pengundi pertama yang berusia antara 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda PN Perlis, Asrul Aimran Abdul Jalil berkata, gabungan parti itu sejak awal telah membuat persediaan rapi dengan merancang pelbagai program bersasar untuk menarik golongan pengundi muda.

“Antara perkara yang kita telah buat sejak awal adalah (menganjurkan) program menarik anak muda dekat dengan kita (PN) seperti program kesukanan, permotoran seperti hari ini.

“Program-program ini telah menarik ramai anak muda bersama kita. Kita harapkan inilah anak-anak muda yang akan membawa suara kita, apa yang kita hasratkan dan inginkan untuk memenangkan PN.

“Mereka ini adalah duta yang akan membawa orang lain bersama PN,” katanya selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini pada Ahad, memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Asrul Aiman, penggunaan media sosial juga akan menjadi strategi utama PN untuk mendekati pengundi muda.

“Berdasarkan dua PRN (Pilihan Raya Negeri) sebelum ini menunjukkan sumber utama kempen anak muda ini adalah media sosial.

“Jadi kita akan mengoptimumkan penggunaan media sosial ini melalui platform Tiktok, Instragram, Twitter dan Facebook untuk menarik lebih dekat terhadap kita” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here