POLIS menahan dua kakitangan hospital bagi membantu siasatan berhubung tindakan merosakkan hiasan lantai tradisional atau kolam sempena Deepavali di pekarangan sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.
“Dua suspek itu masing-masing individu yang berjalan dengan kasut atas kolam Deepavali serta yang merakam aksi lelaki berkenaan.
“Mereka direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
Sebelum ini, satu rakaman tular di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan sebuah hospital swasta sedang berjalan dengan kasut di atas perhiasan kolam.
Tindakan lelaki berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi serta kecaman orang ramai.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.