Oleh WARTAWAN SATU BERITA
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan menamakan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon bagi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bersatu Bahagian Tasek Gelugor dalam satu kenyataan memberitahu, satu perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober lalu susulan laporan akhbar mengenai kemungkinan Wan Saiful akan bertanding di situ.
Katanya, dalam pertemuan di kediaman Muhyiddin itu, mereka telah menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan memberi laluan kepada bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu sebagai calon bagi mewakili PN untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
“Bersatu Tasek Gelugor pada awalnya menamakan Ketua Bahagian, Azmi Alang untuk menjadi calon.
“Namun, kami bersedia memberi laluan dan menyokong Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi Menteri Kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor,” katanya.
Tambahnya, Azmi juga menunjukkan jiwa besar kerana bukan sahaja menyokong sepenuhnya pencalonan Wan Saiful, tetapi akan turut bekerja untuk memenangkan calon yang dipilih itu.
Sehubungan itu tambahnya, Bersatu Tasek Gelugor berharap PN Pusat akan memberi perhatian kepada pandangan akar umbi di peringkat bahagian tersebut. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.