LULUH hati seorang ibu melihat persediaan perkahwinan anak perempuannya tidak seperti yang dibayangkan, malah bertukar mimpi ngeri.
Hari bahagia yang diidamkan bakal menjadi kenangan terindah bertukar pengalaman pahit apabila perancang perkahwinan yang sudah dibayar penuh langsung tidak dapat dihubungi.
Itu nasib yang menimpa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ema, 57.
Menurutnya, janji manis perancang perkahwinan yang menawarkan pakej penuh, termasuk persalinan pernikahan dan baju persandingan, tidak muncul walau hari pernikahan makin menghampiri.
Dia yang bakal melangsungkan majlis pernikahan anak perempuannya pada November ini rugi RM17,000 selepas perancang perkahwinan terbabit melesapkan diri.
Ema dan keluarganya pernah mengupah individu terbabit untuk majlis perkahwinan anak keempatnya pada Julai lalu.
“Waktu majlis Julai lalu, semuanya baik dan sempurna. Jadi, saya percaya dia boleh tolong uruskan perkahwinan anak perempuan saya bulan depan.
“Tapi Sabtu lalu, berlaku insiden apabila satu majlis perkahwinan di daerah ini ketiadaan pelamin dan katering. Kawan saya beritahu, keluarga berkenaan mengupah perancang perkahwinan yang sama seperti saya. Sejak itu, saya mula tidak sedap hati,” katanya dihubungi.
Menurutnya, individu terbabit tidak lagi menghubunginya sejak menerima pembayaran penuh awal Ogos lalu malah tidak juga menghubungi anak perempuan Ema untuk mencuba baju pernikahan.
Pada masa sama, individu terbabit gagal dihubungi untuk ditanyakan berkaitan status pakaian nikah Isnin lalu.
“Ogos lalu, individu terbabit meminta saya membuat bayaran penuh untuk mendapatkan semua kelengkapan berkenaan.
“Dia menawarkan pakej penuh termasuk pelamin, solekan, khemah, meja makan beradab, katering dan pengacara majlis pada harga keseluruhan RM17,000,” katanya, lapor Harian Metro
Menurut Ema, keluarganya akan memasak sendiri bagi menjimatkan kos namun tetap perlu mengeluarkan kos tambahan untuk pelamin dan sebagainya.
Menurutnya, dia dan suami sudah melaporkan perkara itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong Isnin lalu.
Pada masa sama, Ezzawin Faziera Abdul Razak, 39, iaitu kakak kepada dua pasangan pengantin yang menjalankan majlis perkahwinan 23 Oktober lalu turut menjadi mangsa kepada perancang perkahwinan yang sama.
Kata Ezzawin Faziera, adik perempuannya cuba menghubungi lelaki terbabit pada petang 21 Oktober lalu bagi bertanyakan mengenai baju pernikahan namun gagal dihubungi.
“Semua ahli keluarga cuba menghubungi perancang perkahwinan itu namun tidak berjawab.
“Kami sudah bayar penuh RM6,900 seperti yang dimintanya namun lain jadinya,” katanya yang turut melaporkan kejadian di IPD Bentong, juga Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar pada kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima dua aduan berkaitan suspek pada Isnin lalu.
Hasil siasatan awal, katanya, suspek iaitu Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu, 28, menawarkan perkhidmatan pengurusan perkahwinan menggunakan nama syarikat ‘The Wedding by Fiey’.
“Antara pakej yang ditawarkan suspek ialah set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.
“Selepas mangsa bersetuju dengan pakej perkahwinan yang ditawarkan, suspek meminta mangsa membuat pembayaran sebelum menghilangkan diri,” katanya.
Menurut Zaiham, jumlah kerugian yang dialami oleh kedua-dua mangsa ialah RM20,900.
Katanya, hasil siasatan awal, syarikat yang dikendalikan suspek wujud dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.