PAS yakin rampas Besut daripada BN

0
221

PAS yakin mampu merampas kerusi Parlimen Besut daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekali gus akan memperkuat parti di peringkat negeri, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husain Awang.

Beliau berkata justeru, keputusan telah dicapai bahawa calon daripada PAS akan bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan perkara itu turut dipersetujui oleh Bersatu selepas penilaian dibuat.

“Untuk perteguhkan parti di peringkat negeri kita perlu letak (calon) PAS di Besut. Ada peluang untuk PAS menang… Bukan ambil alih, kerusi itu memang sedia ditandingi PAS jadi kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Markas Induk PRU15 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai, malam tadi.

Husain berkata sehubungan itu, proses pembahagian kerusi untuk Perikatan Nasional (PN) bagi semua Parlimen di Terengganu kini dianggap selesai dan tidak menolak kemungkinan muka baharu akan dipertaruhkan kali ini.

Dengan keputusan itu, hanya Parlimen Hulu Terengganu akan diwakili Bersatu iaitu Datuk Rosol Wahid yang akan mempertahankan kerusi dimenanginya itu atas tiket BN pada PRU14 dengan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu Datuk Razali Idris.

Sementara itu, mengenai kerusi Parlimen Kuala Nerus, beliau berkata PAS tidak akan tergugat walaupun bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14.

Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi oleh calon BN Tan Sri Idris Jusoh yang kali ini mengumumkan tidak akan bertanding manakala Mohd Khairuddin yang pada ketika itu mewakili PAS menang di Parlimen Kuala Nerus.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here