Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiada perbincangan rasmi antara PN dan GTA hadapi PRU15-Hamzah -

Tiada perbincangan rasmi antara PN dan GTA hadapi PRU15-Hamzah

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata gabungan berkenaan belum mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Secara rasmi belum ada tetapi antara wakil-wakil mungkin ada, risik merisik itu biasa dalam politik buat masa ini. Pihak atasan belum buat keputusan sama ada perbincangan ini boleh dijalankan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perbincangan antara PN dan GTA bagi menghadapi PRU15.

Beliau ditemui selepas hadir majlis pelancaran duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun Jubli Emas Jabatan Sukarelawan (RELA) ke-50 di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan gabungan parti politik tertentu untuk melihat sama ada kerjasama boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Mukhriz dilaporkan berkata pihaknya terbuka untuk bergabung sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan.

GTA merangkumi Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan penubuhan GTA yang dikatakan tidak diluluskan, Hamzah berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

— BERNAMA