Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: Khairy bakal bertanding kerusi Parlimen disandang pembangkang -

PRU-15: Khairy bakal bertanding kerusi Parlimen disandang pembangkang

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memberi bayangan bahawa, beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen yang kini disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun kerusi itu belum dimuktamadkan dan masih dalam penilaian pucuk pimpinan BN, Khairy bagaimanapun mengesahkan ia adalah kawasan yang dimenangi parti lawan sebelum ini.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban hari ini.

Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal, sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.

Mohamad dilaporkan memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU15 dan tidak akan membiarkan Menteri Kesihatan itu “hilang” begitu sahaja kerana beliau adalah pemimpin muda berkaliber.

Khairy berkata beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti, sekali gus menawan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Ditanya sama ada kerusi berkenaan adalah di Negeri Sembilan, Khairy yang enggan mendedahkan perkara itu berkata : “Pelbagai negeri, masih belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.”

“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober, bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. –BERNAMA