Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas -

Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas

SEORANG lelaki yang mengalami kudung tangan kanan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas gelandangan, Ahad lalu.

Chin Ling Sin, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang juga seorang gelandangan didakwa membunuh Leong Chow Wah, 67, di lorong tepi sebuah restoran di Jalan Leng Sin Nam, Ipoh dalam daerah Kinta antara pukul 4.50 pagi hingga 5.50 pagi pada 16 Oktober 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh belum diwakili peguam, lapor Sinar Harian.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Media pada Ahad lalu melaporkan, mayat lelaki warga emas dipercayai gelandangan ditemukan dengan kesan luka di dagu di tepi tangga dekat kaki lima kedai di Jalan Leong Sim Nam.

Lelaki terbabit ditemukan orang awam sekitar pukul 5.22 pagi dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pakar klinikal Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di lokasi kejadian.

Pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki itu mendapati terdapat kesan luka pada dagu disebabkan senjata tajam dan calar pada kedua-dua tangan.