PAS akur dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menetapkan 19 November depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara berkenaan adalah bidang kuasa SPR.
“SPR boleh menetapkan tarikh pilihan raya tidak kurang dari empat hari selepas writ pilihan raya diwartakan. PAS sebagai parti politik, akur dengan pengumuman itu.
“Jika berlaku banjir besar pada hari pilihan raya, hanya satu perkara yang boleh menghalang pilihan raya itu terus diadakan iaitu pengisytiharan darurat,” katanya, lapor BH Online.
Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kelantan Go Digital, di Kota Bharu, Kelantan, pada Khamis.
Terdahulu, SPR menetapkan hari penamaan calon PRU-15 adalah pada 5 November, pengundian awal 15 November dan hari mengundi adalah pada 19 November depan.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 November bagi semua calon dan parti politik bertanding hingga jam 11.59 malam, 18 November.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.