Siti Bainun disyaki aniaya Bella – Pegawai penyiasat

0
207

SEORANG pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu bahawa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali disyaki menganiaya atau mendera remaja sindrom Down Bella menggunakan air panas sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan.

Asisten Supritendan Rohaini Baharom dari Bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, hasil temu bualnya dengan dua doktor yang memeriksa Bella menunjukkan kecederaan pada badan mangsa bukan akibat kemalangan atau perbuatan sendiri.

Saksi pendakwaan ke-20 berkata, hasil siasatan dan keterangan Dr. Sheshadri Sridar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati, wujud kulit yang baharu tumbuh serta parut lama akibat luka kronik berpunca daripada benda panas contohnya air, minyak dan puntung rokok.

“Dr. Sheshadri menyatakan, kecederaan itu bukan perbuatan sendiri mahupun kemalangan dan berlaku dalam tempoh yang panjang,” ujarnya pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memetik laporan Utusan Online.

Saksi berkata, seorang pakar pediatrik, Dr. Nizam Malik Bali Mohamed yang memeriksa Bella mengesyaki wujud unsur-unsur penderaan berdasarkan parut lama dan baharu pada badannya yang bukan berpunca daripada kemalangan.

Selain itu, menurut saksi, seorang doktor dari sebuah klinik di Setapak di sini pernah memaklumkan bahawa Siti Bainun menemui beliau pada 2 Jun 2021 dan menyatakan anaknya bernama Bella cedera terkena air panas.

“Namun Siti Bainun ketika itu tidak membawa Bella bersama untuk pemeriksaan dan oleh yang demikian saya memohon doktor berkenaan menyediakan surat pengesahan kehadiran tertuduh di klinik itu,” ujar saksi ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Menurut Rohaini, hasil siasatan turut mendapati Bella mempunyai sejarah penyakit jantung berlubang dan pernah diperiksa dan menerima rawatan di Bahagian Paediatrik dan Kardiologi, Hospital Serdang.

Dalam keterangannya, pegawai polis itu turut menyatakan, hasil siasatan awal seorang lagi pegawai penyiasat, Inspektor Suhaili Mahad mendapati Bella sendiri memberitahu beliau bahawa Siti Bainun mencederakannya dengan air panas.

Ujarnya, selain itu, keterangan saksi yang menetap di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan keterangan kenalan rapat Siti Bainun menyebut wanita itu mendera Bella dgn cara menyimbah air panas dari mesin penapis air.

Mangsa didakwa diberi makan cili, dikurung di kawasan mendobi pakaian, diberi makan najis sendiri serta penyediaan makan minum yang tidak menentu.

Menurut pegawai polis itu, hasil siasatan di kondominium tersebut pada 4 Mac 2021, beliau mendapati mesin penapis air dan alat pemanas air dalam bilik air tidak rosak dan masih berfungsi dengan baik.

Ujarnya, siasatan dilakukan ekoran laporan polis yang dibuat oleh salah seorang penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, pada 23 Ogos 2021 yang mendakwa Siti Bainun mendera Bella dengan menyimbahnya dengan air panas daripada mesin penapis air.

Ketika disoal balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf, Rohaini berkata, Yasmin menyebut selain didera dengan air panas, Bella turut dikurung di kawasan mendobi pakaian yang dijadikan tempat tidur tanpa alas dan diberi makan cili.

Mohammad Farhan: Mohon puan rujuk dua eksibit, berdasarkan laporan perubatan dua doktor ini, tunjukkan kepada mahkamah di manakah yang puan katakan doktor keluarkan laporan bahawa kecederaan yang dialami Bella adalah penderaan dan bukannya kemalangan.


Rohaini: Maaf Yang Ariff, saya tak boleh terangkan laporan yang disediakan dua pakar itu kerana saya bukan pakar perubatan.

Mohammad Farhan: Jadi saya mohon puan tunjukkan kepada mahkamah, cari di mana perkataan penderaan yang puan maksudkan.


Rohaini: Maaf saya tak cakap daripada laporan perubatan tapi saya sebut daripada keterangan pakar-pakar yang merawat Bella.

Menjawab soalan peguam, saksi menyatakan beliau tidak pasti sama ada Bella mampu minum 24 kotak susu sehingga mengalami cirit birit.

Ujarnya, beliau tidak memeriksa badan Bella kerana ketika siasatan awal dilakukan oleh Suhaili dan beliau mengambil alihnya daripada pegawai itu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here